SEORANG remaja lelaki dari Neswastle, England, Danny Bowman, 19, menghabiskan masa hampir 10 jam setiap hari untuk mengambil kira-kira 200 keping gambar diri sendiri yang dikenali sebagai selfie menggunakan telefon bimbit.
Tabiat pelik yang membelenggu remaja lelaki itu pada tiga tahun lalu memakan diri apabila keadaan tersebut hampir meragut nyawanya.
Dia berbuat demikian kerana tidak berpuas hati dengan gambar yang diambilnya hingga menyebabkan dia mengalami penyusutan berat badan sebanyak 20 kilogram.
"Ketika itu, saya begitu obses untuk mengambil gambar selfie kerana ingin mencuri perhatian rakan-rakan wanita di sekolah.
Seronok
"Setiap kali mengambil gambar, saya akan rasa seronok dan teruja lebih-lebih lagi apabila berjaya menonjolkan sisi saya yang berbeza," katanya.
Ujar Danny, kelakuan tersebut bertambah kritikal sehingga dia sanggup menyelinap keluar dari kelas sebanyak tiga kali iaitu pada setiap satu jam semata-mata untuk mengambil gambarnya sendiri.
Satu-satunya kebaikan hobi melampau tersebut ialah impian Danny untuk menjadi seorang model lelaki tercapai pada tahun 2011. Pada usia 16 tahun, Danny nekad berhenti sekolah dan menghabiskan seluruh masanya untuk mengambil gambar selfie.
Enam bulan pertama selepas berhenti sekolah, dia mengurungkan diri di dalam bilik tanpa melakukan sebarang aktiviti dan hanya mengambil gambar selfie.
Sebelum mengambil gambar, Danny akan merenung ke arah gambar idolanya, pelakon Hollywood terkenal Leonardo de Caprio untuk mendapatkan idea.
Namun begitu, apabila gambar tersebut gagal mencapai tahap kesempurnaan, dia akan cuba membunuh diri dengan mengambil dadah terlarang secara berlebihan.
Ibunya, Penny Bowman berkata, seluruh anggota keluarga terpaksa mendapatkan bantuan untuk menyelamatkan anak lelakinya terutamanya apabila ketagihan Danny berada di luar kawalan.
"Saya pernah cuba merampas telefon bimbitnya kerana menyangka ia mampu mengawal keadaan daripada menjadi lebih tegang.
"Namun, perkara sebaliknya berlaku apabila dia menjadi semakin agresif," ujarnya.
|
Penyakit mental
Persepsi Danny mengenai ketaksuban terhadap gambar sendiri bagaimanapun berubah selepas dia menerima pelbagai komen negatif berkaitan fizikalnya sebaik memuat naik gambar tersebut ke laman Facebook.
"Pelbagai kata kesat dilemparkan kepada saya sehingga ada yang mengeji hidung saya bersaiz besar.
"Dari hari itu, saya mula sedar bahawa untuk mencapai kesempurnaan adalah mustahil. Setiap orang pasti ada kekurangan," katanya.
Setelah menyedari sukar untuk mengambil gambar yang sempurna, Danny nekad untuk berhenti daripada ketagihan tersebut dan mengambil masa selama tujuh bulan untuk mengatasinya.
"Kalau tidak saya pasti tidak boleh berenggang dengan telefon sampai sekarang.
"Disebabkan ketagihan itu, saya kehilangan rakan-rakan, zaman persekolahan, kesihatan dan paling tidak dapat dilupakan apabila saya hampir mati," luahnya kesal.
Perkara tersebut lantas menjadikan Danny sebagai penagih selfie pertama di Britain yang menghidap sindrom penyakit personaliti dismorfik, iaitu kebimbangan melampau terhadap penampilan peribadi dan gangguan obsesif kompulsif (OCD).
Seorang pakar psikiatri Britain, Dr. Linda Papadopoulos berkata, fenomena tersebut sering terjadi dalam kalangan golongan muda zaman teknologi kini.
"Budaya ini sama seperti reaksi kita ketika melihat diri sendiri terpampang di dada akhbar.
"Ia sama sahaja seperti memaksa orang lain untuk melihat kehidupan kita dan juga betapa hebatnya kehidupan kita berbanding orang lain," katanya.
Tambahnya, kegilaan individu untuk ber-selfie telah berkembang sejak lima tahun yang lalu.
Bukan sekadar orang biasa, gejala tersebut malahan turut merebak dalam kalangan selebriti, ahli politik dan atlet sukan.
Bagaimanapun, seorang pakar psikologi yang merawat Danny berpendapat, ketagihan individu mengambil selfie kini telah menjadi satu penyakit mental.
credit:cosmoArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo Pada pendapat aku..kalau nak selfie tu mmglah boleh tp berpada-padalah..tapi ni dah macam obses sangat dgn diri sendiri~so sesiapa yg ada menunjukkan simptom-simptom obses ber'selfie' silalah pi jumpa doktor..sebelum penyakit anda melarat(p/s:bunuh diri sendiri tu dosa dan merugikan taw :3) ok tu jer~
Kesian dioarang ni...
ReplyDelete